Genggam bara api biar sampai jadi arang

CONTOH KARANGAN PERIBAHASA :

Genggam bara api biar sampai jadi arang

        Jika kita hendak men capai cita-cita, kita perlu berusaha secara tekal serta sabar apabila menghadapi cabaran dan dugaan. Begitulah maksud peribahasa "genggam bara api  biar sampai jadi arang."

        Antara contoh yang ada kaitan dengan peribahasa ini ialah diri murid sendiri. Sama ada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah atau kolej, mahupun penuntut di universiti, semuanya perlu gigih menuntut ilmu. Semasa di sekolah rendah, kita perlu menduduki peperiksaan UPSR. Di sekolah menengah pula, kita menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM. KIta perlu melalui semua cabaran ini dengan sabar jika hendak berjaya dalam pelajaran.

       Bagi peniaga pula, susah payah untuk maju perlu dihadapi terlebih dahulu jika hendak menjadi usahawan berjaya. Jatuh bangun dalam bidang perniagaan bagi seorang usahawan akan mematangkan mereka, seterusnya menjadi tangga untuk mereka lebih maju.

       Antara contoh yang lain ialah usaha yang dilakukan oleh penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tajuddin. Beliau terus berusaha memajukn diri dan tanah air, dengan membuat persembahan di Royal Albert Hall, London menggunakan perbelanjaan sendiri. Hal ini membolehkan beliau mencipta nama pada peringkat antarabangsa.

        Semua tokoh terkemuka dunia berjaya hasil usaha gigih. Tokoh pejuang negara seperti Tunku Abdul Rahman, Dato' Onn Jaafar dan tokoh kemerdekaan yang lain berusaha gigih untuk memerdekakan negara. Pemimpin pada masa ini pula turut berusaha gigih untuk memajukan rakyat dan negara demi memastikan Malaysia kekal makmur dan merdeka.

         Jelaslah bahawa kejayaan akan datang seiring dengan usaha kerana "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya."

Comments

Popular posts from this blog

Zaman beralih, musim bertukar.

Nyiur setandan tetapi berlainan jadinya.

Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.